Monday 12 September 2016

SENARIO PATRIOTISME

Image result for PATRIOTISME




Senario Patriotisme di Malaysia Pemupukan dan penghayatan nilai-nilai patriotisme telah bermula sejak daripada sekolah rendah. Menurut Buku Panduan Pemupukan Patriotisme Di Sekolah Rendah (Kementerian Pendidikan: 1994), nilai-nilai patriotisme perlu diterapkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum. Oleh itu, subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Kajian Tempatan dan lain-lain subjek sekolah rendah, perlu diterapkan nilai-nilai patriotisme yang disepadukan melalui topik yang diajar. Begitu juga melalui ko-kurikulum seperti aktiviti sukan, lawatan sambil belajar dan sebagainya. Manakala di peringkat menengah pula, penerapan nilai-nilai patriotisme dibuat melalui subjek Sejarah, Pendidikan Moral, Geografi, Pendidikan Islam dan subjek-subjek yang lain. Walau bagaimanapun, setelah melalui proses pendidikan selama 13 tahun, ternyata penghayatan semangat patriotisme di kalangan pelajar masih longgar dan berada pada tahap sederhana (Rizal Uzir: 2002). Bagi Wan Zahid (1993) pula, bangsa dan negara yang kuat serta mulia tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikalnya yang bercorak kebendaan dan teknologi. Maka negara harus membina kekuatan di atas asas budaya, ilmu pengetahuan, akhlak mulia, keyakinan diri yang teguh, semangat tanggungjawab dan pengorbanan diri yang tinggi. Maka, nilai-nilai patriotisme yang merupakan sebahagian daripada nilai-nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Justeru, wajar para pelajar terutamanya di peringkat menengah menjadikan nilai-nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan.

Kekurangan penghayatan nilai-nilai patriotisme akan menyebabkan pelajar menjadi mangsa kepada pelbagai penyakit sosial. Generasi muda hari ini hendaklah sentiasa memupuk semangat setia dan patriotisme dan tidak melakukan sesuatu yang boleh merugikan bangsa dan negara. Sikap berpuak-puak dan bermusuhan sesama sendiri akan menghancurkan semangat patriotisme. Oleh itu, mereka perlu mengamalkan falsafah hidup yang tidak mengutamakan kepentingan diri semata-mata, kepentingan negara hendaklah diambil kira bersama kerana kepentingan negara akan membawa kebaikan yang lebih baik kepada diri sendiri. Sewajarnya nilai-nilai patriotisme perlu ditanam dalam jiwa remaja kerana pada peringkat ini remaja masih dalam proses menuju dewasa. Patriotisme dapat mengajar remaja mendisiplinkan diri mereka. Disiplin yang utuh akan membantu mereka mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi. Negara memerlukan generasi yang berdisiplin dan produktif kerana ia menjadi kemudi pembangunan dan kepimpinan negara pada masa akan datang (Mahathir dan Belia; dalam Saifuddin: 2002). Kenyataan mantan Perdana Menteri ini memperlihatkan betapa pentingnya nilai-nilai patriotisme itu dipupuk dalam jiwa setiap rakyat Malaysia agar tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur asing yang mempamerkan acuan lain di luar ciri-ciri Malaysia. Nilai-nilai patriotisme ini juga penting dalam melahirkan warganegara yang cintakan negara, aktif dan produktif di dalam pembangunan negara.

Kesedaran betapa pentingnya nilai-nilai patriotisme dilihat juga daripada bermacam-macam usaha yang diambil oleh agensi lain dari sektor pendidikan non formal dan juga dari sektor di luar pendidikan seperti Kementerian Belia dan Sukan. Kerajaan dan ibu bapa melihat nilai-nilai patriotisme penting bagi semua anggota masyarakat lebihlebih lagi bagi golongan yang bakal menjadi pemimpin negara. Kepentingan patriotisme dihubungkaitkan dengan kesedaran bahawa belia-belia perlu disediakan dengan pendidikan formal dan tidak formal yang boleh membantu mereka menyediakan diri untuk menjalani hidup sebagai warganegara yang baik, produktif, bermoral, berdisiplin, bertanggungjawab dan seterusnya mempertahankan negara (Robiah dan Zahara: 1992). Golongan pelajar adalah satu golongan yang besar. Apabila dihalusi, istilah besar ini membawa erti yang luas jika diambilkira bahawa golongan ini juga adalah golongan yang paling berpengaruh kerana pelajarlah yang mewakili masa depan negara. Identiti negara dan penerus budayanya adalah dicorakkan oleh pelajar hari ini. Dalam pada itu, golongan pelajar merupakan golongan yang senang dipengaruhi dan mudah dicabar. Dalam keadaan masyarakat yang sedang bergolak menghadapi dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang begitu besar, pelajar begitu mudah dipengaruhi dan memerlukan bimbingan tertentu. Tanpa bimbingan mereka senang menjadi sasaran bermacam-macam unsur negatif yang sudah pasti timbul selari dengan perubahan yang berlaku. Tanda-tanda ini telah banyak kelihatan, yang ketara ialah tingkahlaku yang bercorak jenayah, penyalahgunaan dadah, bersikap mengagungkan nilai-nilai luaran dan memandang rendah unsur-unsur dalam negara, bersikap tidak apa dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment