Monday 12 September 2016

KONSEP PATRIOTISME

Patriotisme berasal daripada bahasa Greek, iaitu patriotes yang bermaksud fellow countrymen, iaitu rakan senegara dan patrice yang bermakna fatherland atau country, iaitu tanah air atau negara. Ini membawa pengertian individu atau kumpulan yang berada di hadapan dalam usaha membela tanah air. Seorang patriot dikatakan sebagai seorang yang cintakan negaranya dan akan membuat apa sahaja untuk mempertahankannya. Patriot bermaksud orang yang mempertahankan (memperjuangkan) kebebasan atau hak tanah air atau pembela negara.Patriot juga bererti orang yang cinta tanah airnya dan akan melakukan apa saja demi untuknya.Patriotisme juga membawa erti fahaman atau pegangan serta kepercayaan yang menggabungkan individu, kelompok dan wilayah di mana kelompok tersebut menghuni. Ianya juga melibatkan slogan dan simbol yang mencetuskan pengaruh yang kuat terhadap tingkahlaku manusia. Ianya sering kali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara (Nordin Kardi: 2003). Manakala Bill Totten (1998) menjelaskan patriotisme bermaksud semangat cintakan negara. Menurut beliau, tidak ada bangsa, keluarga, pasukan dan kumpulan dalam apa bentuk pun boleh berfungsi dengan baik melainkan semua ahli cintakan negara. Bagi Doob (1964), beliau menjelaskan patriotisme itu ialah 'as the more or less conscious conviction of a person that his own welfare and that of the significant groups to which he belongs are dependent upon the preservation or expansion (or both) of the power and culture of his society'. 

Dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme amat penting sekali seperti yang sering disebut iaitu kasihkan watan itu sebahagian daripada iman. Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, seorang ulama besar Patani pernah mengingatkan bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing (khususnya kafir harbi) adalah fardu ain. Tanpa semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan.Walaupun patriotisme adakalanya diseiringkan dan disamakan dengan nasionalisme, tetapi keduaduanya mempunyai kelainan (Saifuddin Abdullah: 2002). Haruslah dinyatakan secara jelas bahawa disebabkan ciri-ciri, sifat nasionalisme itu sendiri adalah berbagai-bagai, manakala fenomena nasionalisme pula boleh muncul dengan rupa bentuk yang sama sekali berlainan, atas sebab dan faktor yang juga berbeza, maka menyamakan konsep patriotisme dengan nasionalisme adalah satu langkah yang kurang tepat dari segi keilmuannya (Mohamed Mustafa Ishak: 2000). Menurut Doob (1964), perbezaan antara nasionalisme dan patriotisme, nasionalisme ialah ideologi tentang kelebihan bangsa sendiri dan berkait rapat dengan unsur-unsur ras, bahasa dan adat. Manakala patriotisme ialah sentimen cintakan negara dan berkait rapat dengan emosi mempertahankan kedaulatan negara, institusi politik dan undang-undang daripada dicerobohi oleh kuasa asing.



  • Berbangga sebagai rakyat Malaysia - berakhlak dan berbudi pekerti mulia - menghormati raja dan pemimpin negara - menghormati lambang-lambang negara (seperti bendera, lagu kebangsaan, jata negara) 3 - menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara - menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa.
  • Bersemangat setia negara - cintakan bangsa dan negara - taat dan setia kepada raja dan pemimpin negara - sedia berkorban untuk bangsa dan negara - bertanggungjawab kepada bangsa dan negara - berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara - peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara.
  • Bersemangat kekitaan - bersatupadu dan berharmoni - bertolak ansur dan bertoleransi - bekerjasama dan tolong-menolong - hormat-menghormati - bersefahaman dan bermuafakat - muhibah.
  • Berdisplin - mempertahankan dan menjunjung Perlembagaan Negara - mematuhi peraturan dan undang-undang - berkelakuan sopan dan bertatasusila - bertanggungjawab - bertindak dengan wajar - bersifat amanah dan jujur - berlaku adil dan bertimbang rasa.
  • Berusaha dan produktif - rajin dan gigih - berdikari - sentiasa mempertingkatkan usaha - tabah menghadapi cabaran - menyokong dan melibatkan diri dalam usaha pembangunan negara.

No comments:

Post a Comment