Monday 12 September 2016

PATRIOTISME
           
                      
Patriotisme yang seringkali dikaitkan dengan cintakan watan adalah satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda. Antara faktor yang menyumbang kepada kebejatan sosial dalam masyarakat mutakhir ini ialah akibat lunturnya semangat patriotisme yang dihayati khususnya generasi muda. Maka, nilai-nilai patriotisme yang merupakan sebahagian daripada nilai-nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Oleh itu, sangat wajar khususnya generasi muda menjadikan nilai-nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk. Kekurangan penghayatan nilai-nilai patriotisme akan menyebabkan pelajar menjadi mangsa kepada pelbagai penyakit sosial. Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan mengenai konsep patriotisme, senario yang berlaku di Malaysia, halangan yang boleh menganggu-gugat penyuburan semangat patriotisme dan cadangan penyelesaian yang boleh dikemukakan dalam mengukuhkan lagi semangat patriotisme khususnya di kalangan generasi muda.



PENGENALAN



Patriotisme sering dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan terhadap negara sendiri. Seseorang itu dianggap berjiwa patriot apabila kepercayaan, amalan dan tindakannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Namun, mutakhir ini, semangat patriotisme kelihatan agak longgar di kalangan masyarakat khususnya di kalangan pelajar. Semangat yang longgar ini ditandai dengan kurangnya penglibatan pelajar dalam pasukan beruniform, sambutan bulan kemerdekaan yang agak hambar, penglibatan dalam jenayah dan isu-isu yang menyentuh kedaulatan negara dianggap terpencil dan remeh seperti isu Pulau Batu Putih dan penambakan laut oleh negara jiran.Situasi ini menunjukkan bahawa para pelajar tidak memahami nilai-nilai patriotisme dan menghayatinya.

No comments:

Post a Comment